MAC 2025

2025 Tahun Menuai Projek Jambatan - Douglas Uggah


SARIKEI: 2025 menjadi tahun buat Sarawak menuai projek-projek pembinaan jambatan, menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ini kerana katanya, menjelang akhir tahun ini, tujuh lagi projek jambatan dijangka siap di seluruh negeri dan dibuka kepada awam.

“Kita telah membuka empat termasuk jambatan ikonik Bintulu-Jepak di Bintulu baru-baru ini.

“Yang lain ialah Muara Lassa, Marudi dan sekarang jambatan Batang Rajang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan prapelancaran Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.4 kilometer (km) di sini hari ini.

Projek bernilai sebanyak RM321 juta itu akan menghubungkan termasuk Jalan Pasi/ Tanjung Manis/ Sibu sepanjang 17 km.

Jambatan dan jalan itu akan mengurangkan masa perjalanan dari Tanjung Manis ke Sibu kepada kira-kira sejam berbanding dua setengah jam menggunakan jalan lama.

Mengenai lapan jambatan yang dijangka siap, Uggah berkata ia adalah Batang Lupar 1, Batang Saribas 1, Batang Limbang, Batang Lingga, Batang Igan, Batang Sebauh, Jambatan Sungai Paku di Spaoh dan Jambatan Sejingkat di Kuching.

Selain itu katanya, empat lagi jambatan juga akan siap sepenuhnya pada tahun hadapan. 

“Batang Paloh, Batang Krian, Batang Lupar 2 dan Batang Saribas 2 dan keseluruhan  kita mempunyai 16 jambatan siap atau dalam proses pembinaan aktif.

“Ini semua dibayar guna dana Sarawak sendiri. Kita mesti berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas semua pencapaian ini," katanya gembira.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidil Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengarah JKR Sarawak Ir Dr Cassidy Morris.